Halyn Bukan Cinderella Bab 2
Bab 2
KEJADIAN aku menyiram jus oren di kepala seorang lelaki biadap di kafe Sugar N Sweet dua hari lalu memang bukan sesuatu yang boleh aku lupakan sampai bila-bila. Mujur saja Richard dan Nick cepat-cepat membawa aku, kalau tidak, barangkali aku sudah bertumbuk dengan lelaki itu.
Bagaimanapun, disebabkan oleh kejadian itu, sesuatu yang sangat mengejutkan dan memang tidak pernah kujangka sama sekali telah berlaku. Keadaan menjadi lebih teruk. Semuanya terjadi dua hari selepas kejadian di kafe itu. Aku mungkin seorang babysitter yang paling penyabar di dunia namun apabila berhadapan dengan lelaki yang kurang ajar, aku patut mengajarnya.
Ketika aku baru hendak berangkat ke rumah Mrs. B dengan memandu kereta Chevrolet jenis lama, telefonku berbunyi. Julia, bekas rakan sepejabat merangkap rakan baikku berada di talian. Aku segera menekan punat hijau sambil mataku melihat sekitar jalan, bimbang jika pengawal trafik muncul di pintu sebelah keretaku.
“Selamat pagi, Julia...” ucapku mesra tetapi telah dibalas dengan ucapan terkejut.
“Kau ada baca akhbar tabloid tak pagi ni?”
Pantas aku menjauhkan telefon dari telingaku yang bingit apabila mendengar teriakan Julia.
“Tak ada. Aku baru nak ke rumah Mrs. B.”
“Kau mesti cari akhbar tabloid tu sekarang!” tengkingnya kuat.
“Tabloid yang mana satu?” balasku marah.
“Daily Star.”
“Buat apa? Aku sibuklah, tak ada masa nak baca akhbar tu!”
“Kau mesti nak tahukan kalau aku kata yang muka kau masuk dalam Daily Star, muka surat sembilan, bahagian Bad News From West.”
Gulp! Aku menelan air liur pahit. Bad News From West! Aku pernah baca kolum berita yang paling tidak disenangi di kalangan orang popular. Mrs. B sahaja pernah mendapat kritikan dari umum apabila dia menengking seorang pegawai polis tidak lama dulu.
“Apa dia tulis?” soalku tidak sabar nak tahu.
“Seorang gadis berang kerana dipanggil „Pelayan Bodoh‟ telah memalukan Kaizil Harlan di sebuah kafe dengan menyiram jus oren ke muka
Kaizil.”
“Eh! Tak ada apa-apa pun yang buruknya. Perkara tu biasa berlaku di mana-mana. Wartawan tu dah tak ada kerja agaknya.” Aku masih berlagak tenang dan terus memandu. Setakat ini belum ada pengawal trafik yang membunyikan hon kepadaku.
“Tak ada apa-apa kau kata, Halyn! Kau tahu tak siapa Kaizil tu?” Suaranya macam gajah di talian, macamlah aku ini pekak.
“Siapa?” tanyaku tenang. Kalau orang politik sekalipun, lelaki itu tetap aku anggap biadap dan aku yakin akan menang jika perkara ini dituntut hingga ke mahkamah.
“Kaizil Harlan tu pemain bola sepak terkenal kelab United, dia memang… betul... betul popular.”
“Kalau ya pun, kenapa?”
“Sudah tentulah perkara tu memalukan Kaizil. Kau tahu tak yang dia tu Kaizil masa kau siram dia dengan jus oren?”
“Tak... manalah aku kenal pemain bola sepak kat dunia ni.”
Cerita itu tidak tamat di situ sahaja. Sejurus aku tiba di rumah Mrs. B pada pagi Sabtu itu, aku telah disambut dengan ucapan daripada bos yang paling garang tetapi baik juga sebenarnya.
“Wah, dah popular kamu ya, Halyn!” katanya sambil tersenyum sinis.
“Oh, itu!” Sekali lagi aku cuba mengekalkan nada tenang, tetapi tidak menjadi. “Mrs. B dah baca?” tanyaku cemas.
“Sudah. Saya sokong tindakan kamu Halyn. Orang biadap macam Kaizil Harlan memang patut diajar.” Mrs.B kemudian menghulurkan akhbar Daily Star kepadaku. "Nah, buka muka surat sembilan."
Pantas aku membuka muka surat kesembilan dan aku tergamam apabila melihat gambar yang diambil oleh paparazi yang telah muncul entah dari mana. Atau barangkali pelanggan di situ yang mengambil gambar dan kemudian menjualnya kepada tabloid tersebut? Dalam gambar itu terpampang jelas aku sedang menyiram air ke muka Kaizil Harlan berserta tajuknya yang hebat juga kedengarannya.
KAIZIL HARLAN DISIMBAH JUS OREN
Kerana marah dipanggil Pelayan Bodoh oleh Kaizil Harlan, bintang bola sepak terkenal kelab United FC, seorang gadis menyimbah jus oren ke muka Kaizil selepas mereka bertengkar di kafe tersebut. Kaizil yang mengalami tekanan akibat tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan melepaskan kemarahannya di sebuah kafe. Mengikut cerita pelayan di kafe itu, Kaizil berang kerana dia sudah menunggu 20 minit untuk piza yang dipesannya dan itu tidak berbaloi apabila dia terpaksa mandi jus oren kerana telah memanggil gadis itu ‘Pelayan Bodoh’.
Apa pun ceritanya Kaizil, gadis itu bukan pelayan di kafe terbabit. Dia ialah pelanggan di kafe tersebut, sama seperti anda.
“Mereka cuma nak tambah bahan berita saja agaknya, tak ada apa-apa yang perlu diperbesarkan pasal kejadian tu.” Aku kemudian melipat akhbar itu dan meletakkannya di atas meja kopi.
“Jangan berasa lega dulu, Halyn. Kamu tahu tak zaman sekarang media internet sangat berkuasa? Lihat saja nanti, esok seluruh dunia pasti akan berkongsi semua gambar-gambar itu.” Mrs. B mengingatkan dan menambah lagi. “Tapi ingat Halyn, kamu juga perlu mengawal emosi dan bijak menangani situasi begitu. Lebih-lebih lagi kamu bekerja dengan saya.”
“Baiklah... maafkan saya. Err… ke mana mereka bertiga?” Luar biasa sekali aku tidak melihat tiga orang anak Mrs. B berkeliaran pada hari cuti begini.
“Mereka pergi ke Toys Park dengan mak cik mereka. Awak ikut saya. Kita ke pejabat. Ada rekaan baru siap yang saya nak tengok,” jelas Mrs. B dan mula mengatur langkahnya yang penuh lenggang lenggok.
“Baiklah.”
Aku menurut dari belakang sambil membimbit fail yang mengandungi contoh-contoh rekaan terkini dari para pereka Syarikat High Style. Pemandu Mrs. B, Encik Smith sudah bersedia membukakan pintu kereta Range Rover.
Ketika Mrs. B sibuk berbual dengan suaminya di telefon, aku diam-diam melayari internet dengan telefon pintarku. Aku mencari di laman sosial tentang berita tadi. Adakah berita itu sudah tersebar dalam laman Facebook? Kalau benar ada...
“Ohh...” Aku hampir terkejut dan pantas menutup mulutku, takut Mrs. B terdengar. Dia masih lagi dengan telefonnya.
Oh, tidak! Apa yang aku dah buat? Sudah berpuluh-puluh ribu Like tentang artikel aku bergaduh dengan Kaizil Harlan. Begitu juga komenkomen di bawahnya. Hal ini bukan membawa kebaikan pada aku malah mungkin memburukkan nama aku yang tidak tahu apa-apa.
Eh! Kenapa aku nak letak kesalahan itu pada diri aku sendiri. Ini semua salah lelaki berlagak tu! Berlagak seolah-olah dia harus dilayan seperti kerabat diraja. Dengan mulut berinsuran besar seperti Kaizil Harlan, pelajaran yang harus diterimanya ialah bersedia untuk ditampar! Aku tidak mahu membaca artikel itu lagi atau mengambil tahu tentangnya. Berpura-pura untuk tidak peduli barangkali akan menyedapkan perasaanku.
Comments
Post a Comment