Halyn Bukan Cinderella Bab 3

 AKU rasa aku sudah membuat kesalahan besar. Aku bekerja sebagai pembantu Mr.s. B yang terkenal dengan syarikat fesyennya tetapi aku telah terjebak dalam gosip buruk yang tidak pernah aku sangkakan.
Tidak pernah aku bayangkan namaku akan dicetak dalam akhbar sebegini, „Halyn Yong Olyphant, pembantu peribadi yang terlebih berlagak daripada bos sendiri‟.
Astaga... aku menggaru kepalaku. Runsing.
Pada petang yang sama ketika aku baru pulang dari pejabat bersama Mrs. B, Richard berlari mendapatkan aku.
“Halyn, awak mesti baca ni!” katanya sambil menarik tanganku agar sama-sama berlari dengannya menaiki tangga.
Sekejap sahaja aku sudah masuk ke dalam biliknya dan duduk di hadapan komputer. Aku terus membaca komen-komen yang buruk tentang aku dan Kaizil. Beribu jumlahnya. Tidak semena-mena nama aku menjadi buruk. Aku turut dimaki oleh golongan peminat perempuan yang memuja Kaizil. Walaupun begitu, ada juga komen yang bersetuju dengan tindakan drastikku, tetapi itu tidak melegakan perasaan.
“Kan saya dah kata Halyn... awak akan terima akibatnya,” ujar Richard dengan riak wajah yang tidak dapat aku ramal.
“Tetapi saya tak bersalah, dia yang mulakan dulu. Takkanlah saya nak berdiam apabila dipanggil bodoh!” Aku cuba menerangkan kepada Richard yang baru berusia 11 tahun itu. Aku yakin dia faham perasaanku.
Kemudian Richard menjawab dengan caranya yang tersendiri. “Memanglah Kaizil bersalah, tapi namanya besar, Halyn. Peminatnya ramai. ”
Aku menggaru kepala dan menarik nafas panjang.
“Dia boleh kata apa saja, Halyn...” sambung Richard lagi.
“Tenang... tenang Halyn. Aku mesti bertenang, ini semua cuma sementara,” kataku kepada diriku sendiri. Kemudian aku berdiri dan keluar mencari Rory.


BAGAIMANAPUN awal pagi keesokannya...
Episod yang lebih malang menimpaku. Ketika aku tiba, ramai wartawan sudah berkumpul di hadapan pintu pagar rumah Mrs. B. Mulanya aku fikir mereka ingin menemuramah Mrs. B. Namun sejurus aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan turun, tiba-tiba sahaja wartawan-wartawan yang berkumpul itu menyerbuku.
“Ms. Yonggg...” panggil mereka sambil berlari.
Terpempan aku di situ sendirian. Aku tidak tahu hendak berbuat apa. Mereka semua menghurung aku seperti sekumpulan semut mengepung sebutir gula. Kemudian beberapa perakam di hadapkan ke mukaku. Lampu flash dari kamera bekerdip-kerdip di sekeliling. Aku mula panik.
“Kaizil Harlan kata kamu teman wanitanya, benarkah?”
“Kaizil mengaku kamu teman wanitanya dan kamu cuma bertengkar semalam, boleh awak jelaskan?”
“Dia tinggalkan awak dan awak mengamuk di
kafe itu?”
“Apa?” Aku bingung. Bertubi-tubi soalan tidak masuk akal dilemparkan kepadaku. Belum sempat aku menjawab, mereka menyoal lagi.
“Sejak bila kamu berdua menjalin hubungan cinta? Bettina Bennington tahu tak akan hubungan kamu berdua?”
Lensa kamera semakin mendesakku. Cukup dengan riak wajah panik dan resah. Wartawanwartawan itu akan membolak-balikkan ceritaku di akhbar nanti.
“Saya tak ada apa-apa hubungan dengan Kaizil, dia bukan kekasih saya. Tolong pergi dari kawasan rumah ini sekarang!” Aku menjerit dan berusaha keluar dari kepungan mereka.
Mujurlah Encik Smith tiba-tiba muncul dan membawa aku masuk ke dalam pagar.
“Kenapa semua wartawan tu cari awak?” tanya Encik Smith.
“Saya tak tahu.”
Apalagi yang boleh aku beritahu kepada Mrs. B yang menunjukkan muka garangnya, ketika aku menemuinya di pejabat kecilnya di tingkat bawah rumah itu.
“Saya tak tahu kenapa wartawan-wartawan itu cari saya di sini,” ulangku.
“Awak tahu Halyn, mereka memang sedia tahu yang awak bekerja dengan saya. Nama besar seperti saya juga termasuk dalam senarai mereka seperti juga Kaizil Harlan. Jadi, tempias berita awak dan Kaizil di kafe terkena juga pada saya.”
“Maafkan saya, Mrs. B.” Aku tunduk, kesal dengan kejadian itu.
Kemudian Mrs. B menyorong iPadnya
kepadaku. “Baca ini.”
Dalam tertanya-tanya, aku mengambil ipad itu. Aku terus meneliti apa yang telah dibaca oleh Mrs. B.
“Kaizil mengatakan yang kamu bekas teman wanitanya. Dia tinggalkan kamu dan menyebabkan kamu marah di kafe itu.” Mrs. B menjelaskan semula seperti yang aku baca dalam portal gosip dalam iPadnya.
“Dia bohong. Saya tak kenal dia pun.”
“Saya percayakan awak Halyn tentang apa yang berlaku di kafe itu tempoh hari. Tetapi, pemberita dalam portal gosip seperti ini lebih suka membuat gosip daripada berkata hal sebenar. Selepas ini kamu akan menjadi bahan berita mereka untuk dibaca seluruh dunia. Kamu faham betapa berkuasanya media sosial sekarang ini?”
Aku mengangguk-angguk dengan rasa kesal yang menggunung dan marah kepada lelaki itu kerana mengaitkan aku sebagai bekas teman wanitanya!
“Saya bukannya hendak menjadi popular, saya cuma nak bekerja... itu saja,” jelasku sungguhsungguh. Aku pun tidak tahu perkara itu akan berlanjutan seperti ini. Entah kebodohan jenis apakah yang diguna pakai oleh Kaizil Harlan berbuat begitu. Barangkali dia cuba hendak memalukan aku.
Oh ya! Memang benar. Dia sebenarnya malu dengan berita yang ditulis dalam tabloid itu, tentang aku menyimbah oren ke mukanya kerana dia telah tersalah memanggil aku sebagai Pelayan Bodoh. Jadi untuk menutup keburukannnya, dia mengaku aku bekas teman wanitanya yang telah ditinggalkannya baru-baru ini. Dengan pengakuan terbaharu itu, sudah tentu dia akan kelihatan lebih hebat pada pandangan umum. Geramnya.
Aku keluar dari pejabat itu untuk membawa Rory ke tadika sekejap lagi.
“Halyn, tengok ni, saya dah pandai pakai baju sendiri!” jerit suara halus Rory ketika aku masuk ke dalam biliknya.
Aku bertepuk girang dan mencium pipinya. “Wah! Puteri Rory yang hebat. Lepas ni kita akan belajar lebih banyak kuasa untuk mengikat tali kasut pula.”
“Yeah!” Rory menyahut gembira.
“Okey, mari kita sarapan.”
Untuk melupakan gosip terbaharu tentang Kaizil dan aku memang bukan mudah. Setiap sejam aku mendapat panggilan telefon dari individuindividu yang aku kenali termasuklah jiran sebelah rumahku, Puan Emma.
“Mengapa Kaizil Harlan tinggalkan awak? Oh... awak memang bernasib malang Halyn,” keluh Puan Emma dari corong telefon dengan suara simpatinya.
Bencinya aku!
Julia sahaja sudah tiga kali menelefon dalam masa dua jam. Dia seperti pembantu peribadiku yang memberitahu semua komen-komen buruk dalam laman sosial tentang aku.
“Aku patut bunuh je lelaki tu... Ish! Geramnya!”
Julia membacakan beberapa komen. “Cuba tengok komen dari Suzzie Lang, komennya... Dia bukan cantik pun, patutlah Kaizil tinggalkannya. Setakat perempuan macam dia tu berlambak di luar sana. Kaizil aje yang bodoh!”
“Apa?”
“Tak cantik? Dia kata kau tak cantik? Suzzie Lang, awak patut buat pembedahan mata!” Julia cuba mempertahankan aku.
Aku menggeleng, tidak tahu sama ada hendak ketawa atau tidak.
“Ish... tak apalah, ada juga dia sebut Kaizil tu bodoh!”
Julia kedengaran ketawa. “Kau ni…” tegurnya. “Macam mana dengan Mrs. B? Dia tak marah kau?”
“Ada juga, kau tahulah dia tu, dia mana suka ada orang lebih popular daripada dia, terutama orang bawahannya. Dia ingat aku suka dengan gosip-gosip begini.”
“Lepas ni tentu ada orang tawarkan kau
berlakon.”
“Sudahlah. Baik aku pergi tengok Rory
sekarang. Nanti ada apa-apa, kau beritahu aku.” Julia ketawa mengekeh.

p/s Dapatkan novel Halyn Bukan Cinderella dari penerbitan Kaseh

Comments

Popular posts from this blog

Words Of Love (entry 2)