Halyn Bukan Cinderella Bab 1




PROLOG

KALAULAH aku tidak pernah bertemunya, kami saling tidak mengenali tentu situasi kami berbeza. Aku pasti tidak akan menyakiti hatinya. Dia mungkin berada dalam dunianya sendiri tanpa mengetahui akan kewujudanku.
Seberapa besar pun cintaku padanya, kadangkala hal itu membuat aku menyesali pertemuan kami. Perasaan keterlaluan akulah yang paling tidak disukainya.
Aku selalu menjadi dungu apabila memikirkan hal-hal seperti itu.
Sehinggalah ketika aku membuat keputusan ini,  aku berasa aku terlalu bodoh kerana telah meninggalkannya. Bahkan tanpa pengetahuannya, aku pergi diam-diam. Aku nekad bahawa ini adalah keputusan yang betul. Kami berdua tidak harus bertemu.




 BAB 1


“ HALYN… tengok, pekerjanya pakai pakaian seragam baharulah...” kata Nick teruja.
Aku perhatikan betul-betul. Yalah,  selalunya mereka memakai kemeja putih.
Hari ini pakaian seragam mereka berwarna merah hati gelap. Warnanya hampir sama dengan sweater coat yang aku pakai sekarang.
“Tapi... saya lebih suka pakaian seragam mereka yang sebelum ini.”
Mereka berdua mengiyakan pendapatku.
Richard dan Nick memesan piza dan coklat panas. Aku ikut sahaja, lagipun bukan aku yang bayar, ibu mereka yang bayar. Aku cuma tahu claim resit... hahaha.
“Rory ada di rumah ke?” tanya Nick sambil mengambil kepingan piza yang ketiga.
“Tak, Rory pergi ke pejabat dengan ibu kamu,” jawabku tanpa memandang Nick. Apabila mereka tidak bersuara, aku menambah, “Richard, kamu patut telefon ayah kamu tentang kemenangan tu, dia tentu gembira.”
“Telefon sekarang Richard, siapa tahu ayah akan belikan sesuatu untuk kita...” Nick menyampuk.
“Untuk kita?” Richard menjeling Nick. “Saya yang berhempas-pulas nak menang tadi, awak senang-senang nak tuntut hadiah dari ayah!”
Memang begitu perangai Richard. Cepat sangat naik angin apabila dia tidak menyenangi sesuatu. Apabila situasi itu berlaku, Nick yang memang jenis suka menjengkelkan orang lain akan membesar-besarkan hal itu. Akhirnya mereka berdua akan bertengkar.
“Apa salahnya...” balas Nick tidak mahu kalah.
“Apa salahnya? Kamu boleh pinta ayah kamu belikan baju bola dari Sepanyol tu...” Aku mencelah pantas sebelum perbalahan mereka berlarutan menjadi pertengkaran. Sebenarnya hampir setiap hari mereka bertengkar.
Richard mendengus lalu menghabiskan kepingan piza yang terakhir.
“Okey, tunggu saya di meja ini. Jangan ke mana-mana. Saya nak pergi bilik air,” pesanku pada mereka berdua.
Aku terus berjalan ke bahagian kiri kafe tersebut. Selepas keluar dari bilik air, aku terdengar seseorang memanggilku dengan ramahnya.
“Hai, Halyn!”
Aku berpaling kepada Sarah, seorang gadis manis dengan rambut kuningnya yang selalu diikat seperti ekor kuda. Oleh kerana aku selalu ke situ, aku dan Sarah mula berkawan walaupun tidak begitu rapat. Aku hampiri Sarah yang sedang membersihkan tingkap kaca di tepi pintu masuk kafe tersebut.
“Kamu seorang saja hari ini?”
“Taklah, dengan mereka berdua.” Tanganku menunjuk ke arah meja di hujung kafe. Kelihatan Richard dan Nick sedang bermain pedang dengan sudu minuman.
“Oohh... Cantiknya awak hari ni!” puji Sarah.
Aku melihat pakaianku yang agak sama warna dengan pakaian seragam Sarah.
“Terima kasih untuk pujiannya. Okeylah Sarah, kami dah nak beredar ni.”
“Baiklah.”
Aku tinggalkan Sarah dengan senyuman lalu berjalan melintasi sebuah meja. Seorang lelaki duduk bersendirian di meja itu.
“Mana hidangan saya, pelayan bodoh!” Tibatiba sahaja lelaki itu membentak kepadaku.
Aku berundur selangkah untuk memastikan sama ada lelaki itu benar-benar membentakku. Memang benar! Lelaki berambut perang itu memandangku dengan riak marah. Dia mengetap bibirnya kuat dan mungkin akan terluka kalau dia terus mengetapnya.
“Sudah 20 minit saya tunggu piza saya! Macam mana kamu buat kerja?”
Aku mula hilang sabar. Sejak akhir-akhir ini, aku cepat marah. Aku pandang lelaki itu dengan geram. “Sebelum awak menyebut perkataan bodoh, awak patut tengok-tengok dulu. Jangan tahu hendak merungut saja!” marahku.
Lelaki itu pantas bangun. “Mana pengurus awak! Saya nak pastikan awak dibuang kerja hari ini!”
Aku mendengus geram.
“Saya mahu hidangan yang saya sudah tunggu selama 20 minit ni, PELAYAN BODOH!!!” tengkingnya.
Tengkingannya betul-betul menaikkan darah aku!
“Untuk pengetahuann… awakkk…” darahku menggelegak, tidak mampu menahan amarah lantas aku mengambil segelas jus oren dari meja sebelah. “Saya bukan pelayan kafe ini!” Aku siram muka lelaki itu dengan jus oren tadi.
“Maaf… maaf...” Seorang pekerja lelaki mencelah cemas.
Beberapa orang termasuk Sarah cuba menghalang lelaki itu daripada bertindak padaku. Aku cuma mendengar dia menjerit „kurang ajar‟ kepadaku yang telah pun melangkah keluar.
Richard dan Nick kelam-kabut membawaku pergi.
“Nick... Nick, lelaki itu… lelaki itu kan...” Richard mula keliru sambil menolak aku masuk ke dalam kereta.
Aku masih bengang.


Comments

Popular posts from this blog

Words Of Love (entry 2)